CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Thursday, February 28, 2008

untuk tatapan....

Wujudkan program khas kenang arwah Sudir

Ingatan selama 16 tahun terhadap pemergian penghibur nasional wajar diabadikan menerusi stesen televisyen, radio. 12 hari lagi genap 16 tahun penghibur nasional, Sudirman Arshad meninggal dunia. Peminat setianya terus mengenang bulan ini sebagai detik sedih dan pilu pemergian beliau yang mengundang banyak titisan air mata. Sudirman yang lebih mesra dengan panggilan Sudir pergi tanpa pesan selepas berbulan-bulan sakit dan ‘disembunyikan’ keluarganya hinggalah peminat dikejutkan dengan berita kematiannya pada 22 Februari 1992. Sepanjang ketiadaan jasadnya tidak bererti Sudir ‘sudah mati’ sebaliknya legasi beliau sebagai anak seni ditinggalkan secara berhemah dan membanggakan. Sudir menjadi contoh kepada artis generasi baru untuk tampil sebagai anak seni yang berpendidikan tinggi, bijak, bersemangat tinggi, berdaya kreatif dan gigih bekerja.

Pada masa sama, ciri penghibur yang ada pada beliau masih menjadi rujukan artis lain untuk mencapai taraf kehebatan yang beliau ciptakan hingga pernah digelar Penghibur No. 1 Asia.
Sudir masih abadi dalam hati setiap peminatnya, buat mereka yang membesar dengan lagu dendangannya. Lagunya sentiasa segar, ceria dan menyentuh emosi seperti Basikal Tua, Chow Kit Road, Kul It, Terasing, Anak Desa, Pelangi Petang, Hujan, Salam Terakhir, One Thousand Million Smiles dan banyak lagi. Dunia seni hiburan di Malaysia mempunyai dua tokoh paling hebat iaitu Tan Sri P Ramlee dan Sudir. Jika saban tahun, pada 29 Mei kita mengenang P Ramlee dengan beberapa aktiviti, elok jugalah Sudirman harus dikenang dengan mengadakan pelbagai kegiatan sama ada bercorak keagamaan mahupun nostalgia pada kerjaya seni dan kehidupan peribadinya. Ini termasuklah peranan stesen televisyen dan radio yang harus mewujudkan program khas untuk meninjau semula kehebatan dan ‘mendekatkan’ peminat dengan Sudir. Ini juga akan memberi pendedahan kepada generasi baru terutama remaja berusia bawah 21 tahun untuk mengenali seorang tokoh seni budaya bangsa sendiri yang pernah mencipta kekaguman ramai - merentasi kaum, agama, usia dan kelas masyarakat di negara ini.

Jika tahun lalu Astro Ria mengadakan siri khas laporan istimewa mengenai sejarah hidup Sudir menerusi rancangan Trek Selebriti, selain RTM mengadakan konsert khas mengenang Sudir biarpun agak lambat dibuat selepas media membuat teguran, apa salahnya pada hujung bulan ini RTM bersedia lebih lebih awal dengan pelbagai program untuk mengenang Sudir. Ini memang wajar sebab Sudir adalah anak seni ciptaan RTM kerana arwah adalah juara Bintang RTM 1976. Ada orang berkata, tidak usah mengenang keterlaluan orang yang sudah tiada. Kata-kata seperti ini juga datang dari kalangan artis sendiri. Artis macam ini sebenarnya hipokrit dan tidak boleh menerima hakikat orang lain lebih bagus daripada mereka dan mereka sendiri sebenarnya gagal untuk menjadi artis yang berjaya seperti Sudir. Maka sifat cemburu itu menghantui diri mereka. Kita mengenang Sudir bukan untuk memuja tetapi kerana terharu kita dikurniakan Allah seorang anak seni yang hebat untuk bangsa kita. Selepas Sudir, kita belum temui lagi artis sehebat Sudir.

berita harian ( 28 februari 2008 )

komen :

sudah genap 16 tahun penghibur terkenal tanah air, Allahyarham Sudirman Hj. Arshad meninggalkan kita. Lagu-lagunya yang popular seperti 'basikal tua', 'chowkit road', 'merisik khabar' dan banyak lagi sentiasa berkumandang di stesen-stesen radio. Ini menunjukkan bahawa walaupun arwah sudah lama meninggalkan kita tetapi lagu-lagunya ' tidak mati' dan masih lagi diminati, tidak kira yang tua mahupun yang muda. malah kanak-kanak juga turut menggemari lagu-lagu arwah.

jika setiap 29 Mei kita mengenang pemergian Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dengan beberapa aktiviti, eloklah juga kita mengenang pemergian Allahyarham Sudirman dengan mengadakan beberapa aktiviti yang bercorak keagamaan ataupun nostalgia berkaitan dengan hidupnya.

hal ini secara tak langsung dapat mendedahkan kepada generasi baru terutamanya remaja di bawah umur 21 tahun agar mengenali seorang tokoh penghibur yang pernah bergelar penghibur no 1 Asia. dan dalam hal ini stesen radio serta tv haruslah memainkan peranan yang amat penting dalam mengadakan siri atau laporan berkaitan dengan Allahyarham Sudirman.

semoga segala usaha yang dilakukan ini sedikit sebanyak dapat mengingatkan kita kepada penghibur yang pernah mengharumkan nama Malaysia suatu masa dulu.

0 comments: