CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Monday, March 10, 2008

Pilihan raya umum ke-12

Empat menteri, 10 timbalan tewas

KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu dan Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon adalah antara pemimpin kanan Barisan Nasional (BN) yang tewas selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 diumumkan setakat jam 3 pagi ini. Selain Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya; Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin; Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin; dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, juga kalah. Samy Vellu gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput yang diwakilinya sejak 1974 apabila tewas kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr D Jeyakumar dengan majoriti 1,821 undi. Samy Vellu mendapat 14,637 undi berbanding Jeyakumar, 16,458.

Aziz tewas di Shah Alam apabila meraih 24.042 undi berbanding lawannya, Khalid Abdul Samad daripada PKR yang mendapat 33,356 undi manakala Shahrizat yang mendapat 18,833 undi, kalah di Lembah Pantai kepada calon PKR, Nurul Izzah Anwar yang mendapat 21,728 undi. Zainudin yang beralih dari kerusi Parlimen Merbok ke Sungai Petani dalam pilihan raya kali ini tewas 9,381 undi kepada calon PKR, Johari Abdul. Zainudin mendapat 24,441 undi berbanding Johari, 33,822 undi. Dr Koh, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang pertama kali bertanding kerusi Parlimen pula, tewas di Batu Kawan kepada calon DAP yang juga bekas pensyarah, Dr P Ramasamy. Beliau hanya meraih 13,582 undi berbanding Ramasamy 23,067.
Turut tewas, 10 timbalan menteri termasuk Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M Kayveas; Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mah Siew Keong. Tan gagal mempertahankan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak yang disandangnya sejak tiga penggal lalu apabila tewas kepada calon PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Tan mendapat 25,608 undi berbanding Abdul Khalid yang juga Setiausaha Agung PKR, 28,123 undi. Kayveas yang juga Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) tewas di Taiping dengan majoriti 11,298 undi apabila mendapat 16,800 undi berbanding lawannya daripada DAP, Nga Kor Ming yang mendapat 28,098 undi. Mah yang juga Ketua Pemuda Gerakan, gagal mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan yang disandangnya apabila tewas dengan majoriti 1,470 undi kepada calon DAP, M Manogaran. Mah mendapat 17,016 undi berbanding Manogaran, 18,486 undi.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman tewas di kerusi Parlimen Nibong Tebal dengan majoriti 3,087 undi apabila mendapat 17,123 undi berbanding pencabarnya daripada PKR, Tan Tee Beng yang meraih 20,210 undi. Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin tewas di kerusi Parlimen Bachok dengan majoriti 2,901 undi apabila mendapat 25,934 undi berbanding pencabarnya, Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa yang meraih 28,835. Beliau yang turut bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perupok, tewas dengan majoriti 1,270 undi kepada calon Pas, Datuk Omar Mohamad. Awang Adek mendapat 8,235 undi berbanding Omar yang meraih 9,505 undi.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk G Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC, tewas 198 undi di kerusi Parlimen Hulu Selangor kepada calon PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad. Palanivel memperoleh 22,979 undi berbanding Zainal Abidin, 23,177. Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow yang juga penyandang kerusi Parlimen Kuantan pula kalah dengan majoriti 1,826 undi kepada calon PKR, Fuziah Salleh. Fu mendapat 16,572 undi berbanding Fuziah, 18,398. Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Seri Chia Kwang Chye, kalah dengan majoriti 16,122 undi di Parlimen Bukit Bendera kepada pencabarnya, Liew Chin Tong daripada DAP. Chia yang juga Setiausaha Agung Gerakan, mendapat 15,131 undi berbanding Liew, 31,243. Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk S Sothinathan kalah dengan majoriti 2.804 undi di Teluk Kemang kepada calon PKR, Kamarul Bahrin Abbas.
Sothinathan yang juga Naib Presiden MIC, mendapat 20,544 undi berbanding Kamarul Bahrin, 23,348. Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin, kalah dengan majoriti 3,413 di Bagan Serai kepada calon PKR, Mohsin Fadzli Samsuri. Zainal Abidin mendapat 18,943 undi manakala Mohsin Fadzli, 18,943. Exco Pemuda Umno, Datuk Pirdaus Ismail sekali lagi gagal untuk merebut kerusi Parlimen Permatang Pauh daripada Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail apabila tewas dengan majoriti 13,388 undi.
komen :
Barisan Nasional (BN) perlu bangkit dan ketepikan perasaan selesa sepanjang masa apabila berdepan pembangkang dalam pilihan raya umum atau pilihan raya kecil selepas ini. Malah, wakil rakyat BN juga perlu berubah sikap, tidak terlalu yakin walaupun berasa diri sudah kuat di kawasan masing-masing. Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 yang baru berakhir, menjadi bukti dan amaran awal pakatan pembangkang yang bukan saja menjadi kenyataan sasarannya untuk menafikan majoriti dua pertiga kerajaan BN, malah lebih jauh daripada itu, mereka seolah-olah sudah ada perkiraan untuk menumbangkan BN pula pada pilihan raya umum akan datang. Buat kali pertama juga sejarah penyertaan parti pembangkang dalam pilihan raya umum di negara ini sejak 1955, menyaksikan suatu keputusan pilihan raya yang di luar jangkaan semua pihak, tetapi ia adalah satu hakikat yang sudah berlaku.
Kecuali Kelantan, Pas sukar untuk membentuk kerajaan negeri tanpa kerjasama parti pembangkang lain seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. Begitu juga di peringkat Parlimen apatah lagi bagi menafikan majoriti dua pertiga suara BN.
Memang diakui prestasi Pas kali ini adalah yang terbaik dalam sejarah parti itu menyertai pilihan raya umum di negara ini apabila memenangi 23 kerusi Parlimen dan 83 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara. Pas, sebenarnya sudah menunjukkan keupayaan menyaingi Umno di negeri yang mempunyai majoriti orang Melayu menerusi Pilihan Raya Umum 1990 lagi apabila buat kali pertama parti itu berjaya menumbangkan kerajaan BN Kelantan.
Di Kelantan, Pas menguasai 100 peratus apabila menang 38 kerusi DUN dan 10 kerusi Parlimen. Kali ini, meskipun gagal untuk merampas semula Terengganu, Pas pula mengembangkan pengaruhnya di Kedah dengan kerjasama PKR, membentuk kerajaan negeri. Malah, kekuatan Pas terus melebar apabila turut bertapak kukuh di Selangor, Perak dan Pulau Pinang. Di Selangor kerajaan pembangkang diketuai PKR yang memenangi 15 kerusi DUN dan sembilan Parlimen; DAP (13 kerusi DUN, empat kerusi Parlimen) dan Pas (lapan kerusi DUN dan empat kerusi Parlimen).
keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12, Sabtu lalu adalah satu sejarah baru dalam amalan sistem demokrasi di negara ini yang menyaksikan kedudukan BN mula terancam, walaupun belum lagi dalam konteks ‘terlambat’.
Saya rasa keputusan pilihan raya ini sebagai amaran kepada BN supaya membuat perubahan termasuk menilai calon yang boleh memberi keyakinan kepada rakyat. Ada calon yang tidak ada kebolehan tetapi apabila merayu kepada ‘bos’, mereka diberi tempat untuk bertanding dan inilah antara faktor yang menyebabkan rakyat bosan dan marah.
Berita Harian ( 9 Mac 2008 )

0 comments: