CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Wednesday, March 5, 2008

untuk bacaan wanita...

Putus haid boleh seawal usia 25 tahun

Sokongan keluarga perlu supaya wanita dapat lalui proses kehidupan peringkat kedua. Jika lelaki boleh berbangga kehidupan sebenar mereka bermula pada usia 40-an, wanita pula mungkin boleh berasa demikian apabila meningkat 50-an, malah pada usia matang itulah kehidupan harus dikecapi sebaik-baiknya dan menerima perubahan diri secara positif. Ini termasuklah, ketika menghadapi menopaus. Walaupun menopaus bermakna berakhirnya zaman kesuburan wanita dan ovari tidak lagi mengeluarkan telur serta berhenti menghasilkan hormon estrogen, wanita boleh menganggap ia sebagai satu kebebasan dalam hidup; seperti mana masyarakat Cina menyatakan, 'Proses kehidupan peringkat kedua' untuk wanita.

Perunding Obstetrik dan Ginekologi yang juga Pengerusi Eksekutif Pusat Perubatan Primanora, Datuk Dr Nor Ashikin Mokhtar, berkata oleh kerana wanita mempunyai banyak peranan dan hayat hidup lebih lama daripada lelaki, mereka sentiasa memerlukan kehidupan berkualiti termasuklah ketika menjalani kehidupan apabila putus haid atau menopaus. Beliau berkata, wanita perlu bersedia menghadapi menopaus. Walaupun secara puratanya kitaran haid terhenti pada umur 50 atau 51 tahun, kajian menunjukkan satu peratus wanita menopaus awal iaitu sebelum 40 tahun. Bahkan ada juga yang lebih malang apabila putus haid ketika berumur 25 tahun. "Walaupun wanita hanya dikatakan mengalami menopaus apabila haidnya berhenti selama sekurang-kurangnya enam bulan, biasanya pada umur 50 atau 51 tahun perubahan itu boleh berlaku beberapa tahun sebelum itu secara perlahan-lahan dan berperingkat," katanya ketika pelancaran Kelab Red Hot Woman di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr Nor Ashikin berkata, antara punca yang boleh menyebabkan menopaus awal sebelum usia sepatutnya ialah pembedahan pembuangan ovari akibat masalah kesihatan, ovari gagal berfungsi dan menerima rawatan kemo atau radioterapi khususnya bagi rawatan penyakit barah. Beliau berkata, berbanding masa dulu isu menopaus hari ini sudah banyak dikatakan secara terbuka terutama mengenai gejala dan masalah serta tekanan yang dihadapi wanita ketika berhadapan dengan fasa kehidupan itu. Namun, itu tidak bermakna wanita dulu tidak menghadapi masalah menopaus kerana realitinya sehingga 1950-an statistik menunjukkan, ramai wanita yang meninggal dunia sebelum mencapai usia menopaus. Punca kematian itu termasuklah kurang mendapat zat makanan dan jangkitan pelbagai jenis penyakit. Dr Nor Ashikin menerangkan, penurunan paras hormon estrogen ketika menopaus memberi kesan menyeluruh pada wanita daripada rambut hingga hujung kaki kerana ia membabitkan perubahan pada otak, rambut, mata, gigi, jantung, tulang, payu dara, kulit dan vagina.

Sehubungan itu, ahli keluarga merangkumi suami dan anak perlu faham perubahan dialami wanita di ambang menopaus, termasuk emosi yang kadangkala tidak menentu kerana di luar kawalan yang berlaku akibat perubahan hormon. Antara perubahan yang dialami wanita ialah simptom vasomotor iaitu serangan kepanasan dan dianggarkan 20 hingga 40 peratus mengalami masalah kepanasan yang teruk. Selain itu ada yang mengalami banyak berpeluh pada waktu malam, berasa resah, sukar tidur dan sakit kepala serta dada berdebar-debar. Gejala itu bukan saja dialami wanita berusia, tetapi turut dihadapi golongan muda yang mengalami menopaus awal. "Walaupun mengalami gejala yang tidak teruk, wanita jangan mengambil mudah mengenai hal itu. Kajian menunjukkan jika lebih kerap mengalami gejala ini, maka risiko untuk mendapat penyakit Alzheimer atau nyanyuk lebih tinggi. Justeru, ia tidak boleh dibiarkan dan wanita perlu mendapat rawatan sewajarnya," katanya. Begitu juga dengan perubahan psikologi antaranya ialah kelesuan yang tidak normal, mudah menangis dan berasa dirinya tidak lagi disayang. Perasaan juga mudah terganggu dan ada kala resah dan sentiasa berasa takut. Kulit pula hilang seri kelihatan kusam, menjadi kering, nipis dan tidak anjal akibat peredaran darah yang semakin perlahan dan tahap kolagen menurun. Bahagian fizikal lain yang berubah termasuklah, pada rambut yang mengalami keguguran atau tumbuh bulu pada bahagian lain seperti muka dan buah dada yang mengendur dan 'jatuh' serta gigi mudah tertanggal, manakala penglihatan pula semakin kabur. "Wanita yang menopaus boleh mengalami perasaan sensitif misalnya, apabila pasangan terlupa mengucapkan selamat tinggal, dia mungkin menangis dan kadang-kadang ada delusi pasangannya mencium wanita lain. Ini adalah realiti yang berlaku dan dialami wanita berkenaan," katanya. Dr Nor Ashikin berkata, masalah hubungan seksual juga terjejas.

Selain mengalami masalah pendarahan atau haid yang tidak teratur wanita menopaus turut mengalami kekeringan vagina dan tisu faraj yang menipis dan ramai mengalami jangkitan. Gejala itu menyebabkan wanita tidak lagi berkeinginan untuk mengadakan hubungan seks. Malangnya, ada suami tidak faham dan berdasarkan statistik Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan pasangan yang berumur 50 tahun mencatat kadar perceraian paling tinggi. Masalah lain ialah pada usus yang berisiko mendapat barah, otot pundi kencing hilang keanjalan dan mengecut serta menyebabkan ia jatuh menghimpit vagina dan kadangkala terkeluar daripada vagina.

Tidak terkecuali juga masalah osteoporosis atau kereputan tulang yang mana kajian mendapati, wanita kehilangan 20 peratus jisim tulang dalam masa lima hingga tujuh tahun selepas menopaus. "Tahap gangguan gejala berbeza antara individu mengikut daya ketahanan masing-masing. Namun, gangguan akibat menopaus tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana satu pertiga hidup wanita adalah selepas menopaus. Sokongan keluarga, terutama suami, penting supaya wanita dapat menjalani kehidupan sebaik mungkin," katanya.

INFO: Kaedah boleh digunakan untuk mengatasi gejala monopaus:
-Mengekalkan diet seimbang dengan mengurangkan garam dan lemak
-Bersenam
-Mengelak pengambilan terlalu banyak kafein dan alkohol
-Mendapat tidur yang cukup
-Mengekalkan berat badan seimbang
-Berhenti merokok (perokok wanita akan menopaus dua tahun lebih cepat berbanding wanita tidak merokok)
-Mengambil pil kalsium dan vitamin D untuk kesihatan tulang
-Mendapatkan pemeriksaan kesihatan (contohnya mamogram, lumuran pap, ujian tekanan dan tulang) secara berkala.
-Belajar menangani tekanan dan mengambil sikap positif terhadap kehidupan.
-Menjalani rawatan penggantian hormon (HRT) atau mengambil produk yang terbukti secara klinikal mampu menangani gejala vasomotor seperti herba kohosh hitam.

0 comments: